PENGENALAN ENJIN

Enjin merupakan nadi penggerak bagi sesebuah kenderaan. Tanpa enjin kenderaan tidak dapat bergerak. Enjin menghasilkan kuasa apabila berlakunya pembakaran di dalam silinder. Campuran udara-bahan api yang dimampatkan akan dibakar di dalam silinder enjin tersebut dan akan menghasilkan kuasa bagi menggerakkan sesebuah kenderaan.
Oleh sebab itu, enjin jenis ini dikenali sebagai enjin pembakaran dalam. Ini kerana pembakaran berlaku di bahagian dalam enjin. Terdapat juga enjin yang proses pembakaran berlaku di luar. Contohnya seperti enjin stim yang digunakan pada keretapi atau kapal yang lama.
Enjin biasanya terletak di bahagian hadapan sesebuah kenderaan. Ada juga enjin yang terletak di bahagian belakang sesebuah kenderaan. Sekiranya anda membuka hud hadapan, anda akan dapat melihat enjin dan komponen-komponen lain yang dicagakkan pada enjin. Antaranya termasuk pengulangalik (alternator), motor penghidup (starting motor), kompresor pendingin hawa (air-conditioning compressor), pengecas turbo (turbo charger), bateri dan lain-lain lagi.
Terdapat empat sistem sokongan untuk memastikan enjin sentiasa menghasilkan kuasa iaitu sistem bahan api (fuel system), sistem penyalaan (ignition system), sistem pelinciran (lubricating system) dan sistem penyejukan (cooling system).
Enjin terbahagi kepada enjin penyalaan palam pencucuh (spark ignition engine) atau lebih dikenali sebagai enjin petrol dan enjin pencucuhan mampatan (compressed ignition engine) atau lebih dikenali sebagai enjin diesel. Terdapat perbezaan bagi kedua-dua enjin ini. Antaranya ialah bahan api yang digunakan dan cara penyalaan enjin tersebut.
Enjin juga terbahagi kepada enjin empat lejang dan enjin dua lejang. Enjin empat lejang terdiri daripada lejang masukan (intake stroke), lejang mampatan (compression stroke), lejang kuasa (power stroke) dan lejang ekzos (exhaust stroke).

SUMBER : http://teknologiautomotif.wordpress.com

Tiada ulasan:

COMMENT VIA FACEBOOK